Make your own free website on Tripod.com
SEJARAH MIGRASI ORANG BANJAR KE MALAYSIA

MIGRASI ORANG BANJAR PADA DUA ZAMAN*
Makalah ditulis oleh : Dr.Mohamed Salleh Lamry**

Kertas kerja ini bertujuan untuk meninjau proses migrasi orang Banjar dari Kalimantan Selatan ke Semenanjung Malaysia pada dua zaman: pada awal abad ke-20 dan pada masa kini. Pada awal abad ke-20 migrasi orang Banjar ke Semenanjung Malaysia berlaku secara besar-besaran, tetapi pada masa kini secara kecil-kecilan sahaja. Untuk memahami perbezaan tersebut, kertas kerja ini terutamanya ingin membincangkan faktor-faktor yang mendorong orang Banjar bermigrasi ke Semenanjung Malaysia pada abad ke-20 dan faktor-faktor apa pula yang tidak mendorong orang Banjar bermigrasi ke Semenanjung Malaysia pada masa kini. Kertas kerja ini menghujahkan bahawa orang Banjar bermigrasi secara beramai-ramai ke Semenanjung Malaysia pada awal abad ke-20, kerana adanya “faktor penolak” seperti keresahan politik dan tekanan penjajah Belanda di Kalimantan Selatan, dan “faktor penarik” seperti peluang membuka dan memiliki tanah di Semenanjung Malaysia. Pada masa kini “faktor penolak” dari Kalimantan Selatan, seperti kemiskinan dan tekanan ekonomi mungkin masih ada. Akan tetapi, “faktor penarik” dari Semenanjung Malaysia sudah tidak ada lagi. Walaupun kini di Semenanjung Malaysia terdapat banyak peluang pekerjaan, tetapi pekerjaan yang terbuka untuk para migran ialah pekerjaan sebagai kuli yang rendah statusnya. Di samping itu, orang Banjar kini mempunyai banyak tempat pilihan untuk mereka bermigrasi.

Pengenalan

Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 migrasi dari Indonesia ke Semenanjung Malaysia (Malaya atau Tanah Melayu pada waktu itu) berlaku secara besar-besaran. Pelbagai suku bangsa dari Indonesia, seperti Jawa, Banjar, Bugis dan Boyan (Bawean) serta orang Sumatera, seperti Minangkabau, Aceh, Mandailing, Korinci, Palembang dan Jambi telah bermigrasi ke Tanah Melayu. Antara tujuan mereka datang ialah untuk merebut peluang ekonomi yang terbuka luas pada masa itu, khasnya untuk bekerja sebagai buruh di perkebunan asing atau untuk membuka tanah sebagai petani kecil. Mengikut Banci (sensus) Penduduk Malaya tahun 1947, yang paling ramai datang ke Semenanjung Malaysia pada masa itu ialah orang Jawa, sementara orang Banjar adalah yang kedua ramai selepas orang Jawa.

Pada masa kini, migrasi orang Jawa, bersama-sama dengan orang Madura dan Boyan ke Semenanjung Malaysia masih berterusan. Orang Jawa masih merupakan kumpulan etnik terbesar yang bermigrasi ke Semenanjung Malaysia mulai tahun 1970-an. Pada masa yang sama, orang yang berasal dari pulau yang agak jauh dari Malaysia, seperti orang Lombok dan Flores juga ramai yang bermigrasi ke Semenanjung Malaysia. Kedua-dua kumpulan etnik yang terakhir ini terutamanya datang untuk bekerja di sektor perkebunan.

Akan tetapi, migrasi orang Banjar ke Semenanjung Malaysia nampaknya tidak berterusan. Terlalu kurang sekali orang Banjar dari Kalimantan Selatan yang bermigrasi ke Semenanjung Malaysia dalam era 1970-an hingga kini. Jika ditemui sebilangan kecil pekerja migran Banjar dari Indonesia, mereka bukan berasal dari Kalimantan Selatan, tetapi umumnya dari Riau dan Jambi atau Sumatera Utara. Orang Banjar dari Kalimantan Selatan dikatakan bukan tidak ada yang bermigrasi ke luar negara. Akan tetapi destinasi mereka kini ialah Mekah dan Madinah, dan mungkin juga Sabah dan Sarawak; bukan Semenanjung Malaysia. Di samping itu, mereka yang bermigrasi ke luar negara mungkin merupakan golongan kecil sahaja berbanding dengan mereka yang tidak meninggalkan tanah air mereka.

Oleh yang demikian, makalah ini ingin meninjau migrasi orang Banjar ke Semenanjung Malaysia pada dua zaman: pada awal abad ke-20 dan pada masa kini. Persoalan utama yang akan dibincangkan ialah mengapa ramai orang Banjar yang bermigrasi ke Semenanjung Malaysia pada awal abad ke-20, dan mengapa pula sedikit sekali orang Banjar yang bermigrasi ke Semenanjung Malaysia pada masa kini? Untuk menjawab persoalan tersebut, akan diteliti faktor-faktor yang menyebabkan orang Banjar bermigrasi beramai-ramai ke Semenanjung Malaysia pada awal abad ke-20, dan faktor-faktor apa pula yang menyebabkan orang Banjar kurang sekali bermigrasi ke Semenanjung Malaysia pada masa kini.

Bagaimanapun, sebelum meninjau migrasi orang Banjar pada awal abad ke-20, mungkin ada baiknya jika ditinjau lebih dahulu secara ringkas migrasi orang Banjar ke Semenanjung Malaysia pada akhir abad ke-19.

Migrasi pada Akhir Abad ke-19

Sebenarnya tidaklah dapat dipastikan bilakah tarikh paling awal orang Banjar dari Kalimantan Selatan bermigrasi ke Tanah Melayu. Mengikut Tajuddin Noor Ganie (2004) pada tahun 1780 dan 1862 telah berlaku migrasi orang Banjar secara besar-besaran ke pulau Sumatera. Orang Banjar yang menjadi migran pada tahun 1780 itu ialah para pendukung Pangeran Amir yang menderita kekalahan dalam perang saudara antara sesama bangsawan kerajaan Banjar, iaitu raja usurpatur Pangeran Tahmidullah. Mereka mesti melarikan diri dari wilayah kerajaan Banjar, kerana sebagai musuh politik mereka sudah dijatuhi hukuman mati. Yang menjadi migran pada tahun 1862 pula ialah para pendukung Pangeran Antasari dalam kemelut Perang Banjar. Mereka mesti melarikan diri dari pusat pemerintahan Banjar di kota Martapura, kerana kedudukan mereka sudah terdesak sedemikian rupa. Pasukan Residen Belanda sudah berjaya menguasai kota-kota besar di wilayah kerajaan Banjar. Pangeran Antasari sendiri sudah memindahkan pusat perlawanannya ke daerah Muara Teweh, di Kalimantan Tengah. Dalam hal ini, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa sebahagian orang Banjar yang bermigrasi ke pulau Sumatera itu kemudian telah bermigrasi pula ke Tanah Melayu. Akan tetapi, bilakah tarikh paling awal mereka bermigrasi ke Tanah Melayu tidaklah diketahui.

Namun, berdasarkan maklumat yang diberi oleh beberapa orang informan dipercayai di sekitar tahun 1870-an sudah ada orang Banjar yang sampai ke Tanah Melayu (Ghazali Basri 1974/75: 9). Seperti yang dibayangkan oleh Ganie (2004) kedatangan orang Banjar pada masa itu banyak didorong oleh pergolakan politik yang berlaku di negeri Banjar, khasnya penaklukan Belanda ke atas kerajaan Banjar pada tahun 1860.

Mengikut Ghazali Basri (1974/75: 9) sebagai reaksi kepada penaklukan Belanda itu ramai golongan pembesar, terutamanya golongan Pangeran dan Gusti yang melarikan diri ke hutan-hutan untuk melakukan serangan balas terhadap Belanda. Mereka yang mahu bekerjasama dengan Belanda dilantik menjadi pegawai atau pembesar dalam pemerintahan Belanda di Banjar, tetapi pihak yang menentang atau tidak mahu bekerjasama sentiasa diburu oleh Belanda. Oleh kerana terus diburu oleh Belanda, ramai yang meninggalkan negeri Banjar dan berhijrah ke tempat lain. Pada mulanya mereka berhijrah ke satu tempat bernama Tongkal di pantai timur pulau Sumatera. Kemudian sebahagiannya menyeberangi Selat Melaka lalu membuat penempatan di Semenanjung Tanah Melayu.

Salah seorang pembesar Banjar yang terawal sampai ke Tanah Melayu ialah Gusti Anang. Beliau dikatakan datang ke Tanah Melayu di sekitar tahun 1880-an dan mula-mula tinggal di Batu Pahat, Johor Kemudian beliau berpindah dan menetap di daerah Krian, Perak sehingga meninggal dunia pada awal tahun 1973. Semasa hayatnya beliau pernah berulang-alik ke Banjar tidak kurang daripada tiga kali (Ghazali Basri 1974/75: 9).

Mengikut Ghazali Basri (1974/75: 10) lagi ketika dia melakukan kajiannya pada pertengahan tahun 1970-an, orang-orang Banjar keturunan Pangeran masih terdapat di kampung Banjar, Teluk Intan, Perak. Orang-orang keturunan Gusti pula masih terdapat di Bagan Datoh, Perak, di Sungai Besar, Selangor dan di Batu Pahat, Johor. Antara saki baki keturunan kerabat di Raja Banjar itu ialah keluarga Gusti Noh di Bagan Datoh, dan keluarga Gusti Idris di Sungai Besar.

Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua, keturunan Pangeran dan Gusti itu dikatakan sangat dihormati oleh orang-orang Banjar di Semenanjung Tanah Melayu, kerana status mereka yang tinggi. Akan tetapi, pada masa kini penghormatan sedemikian sudah tidak ada lagi. Antara sebabnya ialah kebanyakan keturunan Pangeran dan Gusti itu tidak berharta. Hal ini demikian, kerana ketika mula-mula datang ke Tanah Melayu dahulu, para pengikut mereka bekerja keras untuk memperoleh seberapa banyak tanah untuk dijadikan harta. Sebaliknya, golongan Pangeran dan Gusti itu tidak berbuat demikian, dan hanya berpuas hati dengan penghormatan dan sedikit pemberian daripada pengikut mereka.

Migrasi pada Awal Abad ke-20

Mengikut Tajuddin (2004) orang Banjar sekali lagi melakukan migrasi secara besar-besaran ke pulau Sumatera pada tahun 1905. Antara sebabnya ialah Sultan Muhammad Seman yang menjadi raja di Banjar ketika itu telah mati shahid di tangan pasukan tentera Belanda. Mereka terpaksa melarikan diri, kerana tidak mahu hidup di bawah pemerintahan Belanda. Di antara mereka yang melarikan diri ke pulau Sumatera itu tentu ada yang berhijrah pula ke Semenanjung Tanah Melayu seperti pada masa sebelumnya.

Pada masa yang sama, ada pula orang Banjar yang terus berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu, kerana mengikut Hasan Basri (1988: 47) di samping pulau Sumatera, Tanah Melayu adalah tumpuan utama penghijrahan orang-orang Banjar pada masa itu.

Oleh yang demikian, mengikut banci penduduk Malaya tahun 1911, pada tahun tersebut sudah ada 21,227 orang Banjar di Tanah Melayu. 81% daripada mereka tinggal di Perak, 13.5% di Selangor dan 3.7% di Johor. Orang Banjar ada juga dinegeri-negeri lain, tetapi bilangannya tersangat kecil. Lebih 88% orang banjar di Perak tinggal di daerah Krian, sementara kebanyakan orang Banjar di Selangor pula tinggal di Kuala Langat (Tunku Shamsul Bahrin 1964: 150).

Pada tahun 1921 orang Banjar di Tanah Melayu meningkat hampir 80% menjadi 37,484 orang. Peningkatan paling besar berlaku di Johor, dari 782 orang pada tahun 1911 menjadi 8,365 orang pada tahun 1921. Kebanyakan orang Banjar di Johor ditemui di Batu Pahat (5,711 orang) dan di Kukub (1,166 orang). Di Perak peningkatan orang Banjar berlaku di daerah Hilir Perak, sementara di Selangor pula berlaku di daerah Kuala Selangor (Tunku Shamsul Bahrin 1964: 151).

Antara tahun 1921 hingga 1931 penduduk Banjar di Tanah Melayu bertambah 7,503 orang menjadi 45,351 orang. Perak, Johor dan Selangor masih merupakan tiga negeri di mana bilangan orang Banjar paling ramai. Dalam tiga negeri inilah tinggal 96% orang Banjar di Tanah Melayu. Bagaimanapun, dalam period itu berlaku sedikit perubahan dalam taburan orang Banjar di Tanah Melayu. Jika sebelum itu, lebih 50% orang Banjar tinggal di Perak, pada tahun 1931, bilangan orang Banjar di negeri itu telah berkurang. Sebaliknya, bilangan orang Banjar di Johor dan Selangor telah bertambah, kerana sebahagian orang Banjar di Perak telah berpindah ke Johor dan Selangor yang mengalami pembangunan ekonomi yang lebih pesat.

Antara tahun 1931 dan 1947, walaupun berlaku krisis ekonomi pada awal tahun 1930-an dan kekacauan pada zaman pendudukan Jepun, orang Banjar di Tanah Melayu terus meningkat pada kadar 2.5% setahun. Bagaimanapun, dalam period ini, pengurangan penduduk Banjar telah berlaku di Johor, khasnya di daerah Batu Pahat, di mana mereka sebelumnya mengusahakan kebun kecil getah. Sebahagian daripada mereka berpindah ke pulau Sumatera, sementara sebahagian lagi berpindah ke kawasan padi di Kuala Selangor, Krian dan Hilir Perak, dengan tujuan untuk mengelakkan kebuluran. Dengan perpindahan mereka ini, penduduk Banjar di Perak meningkat kembali sehingga melebihi 50% daripada keseluruhan penduduk Banjar di Semenanjung Tanah Melayu (Tunku Shamsul Bahrin, 1964: 153).

Secara umum migrasi orang Banjar dikatakan mempunyai pola yang konservatif, ertinya mereka tetap bertani dan melakukan pekerjaan yang serupa dengan pekerjaan yang mereka lakukan di kampung halaman mereka (Mochtar Naim 1984: 298). Hal ini memang benar bagi orang Banjar yang bermigrasi ke Tanah Melayu. Kebanyakan orang Banjar yang tinggal di Krian, Hilir Perak dan Kuala Selangor adalah penanam padi, walaupun ada juga yang mengusahakan kebun kecil kelapa atau getah. Kebanyakan orang Banjar di Batu Pahat pula mengusahakan kebun kecil kelapa atau getah, tetapi ada juga yang bersawah padi. Pada masa permulaan, orang Banjar dianggap sebagai kelompok yang terbaik dalam hal membuka hutan dan menggali parit (Mochtar Naim 1984: 43-44).

Mengenai faktor yang mendorong orang Banjar bermigrasi, adalah menarik kita meneliti pendapat tiga pengkaji yang berikut: Mochtar Naim (1984), Hasan Basri (1988) dan Tunku Shamsul Bahrin (1964).

Mengikut pendapat Mochtar Naim (1984:42)

Walaupun orang Bugis, Banjar dan Bawean (Boyan) datang dari pulau-pulau yang berlainan, mereka nampaknya mempunyai sikap yang hampir serupa mengenai migrasi. Mereka terdorong untuk bermigrasi bukan kerana alasan adat atau pola-pola sosial, melainkan kerana tekanan ekonomi dan peperangan.

Bagaimanapun, antara “tekanan ekonomi dan peperangan” itu, Mochtar Naim mungkin (1984: 287) lebih menekankan faktor ekonomi, apabila dia menyatakan di tempat lain:

Kehadiran sejumlah besar orang-orang Bugis dan Banjar di daerah-daerah Pesisir Timur Sumatera dan di Malaysia kelihatannya lebih bermotifkan ekonomi daripada dorongan sosial yang terbit dari sistem sosial mereka masing-masing di Sulawesi Selatan dan Kalimantan Selatan.

Jika pendapat Mochtar Naim ini kita kaitkan dengan tahap-tahap migrasi orang Banjar, kita mungkin boleh mengatakan bahawa migrasi orang Banjar pada peringkat awal hingga akhir abad 19 lebih banyak didorong oleh faktor peperangan. Sebaliknya, migrasi orang Banjar mulai awal abad ke-20 lebih banyak didorong oleh faktor ekonomi.

Pendapat Hasan Basri tidaklah begitu berbeza daripada pendapat Mochtar Naim. Berdasarkan penelitiannya terhadap migrasi orang Banjar ke Surakarta, beliau berpendapat (Hasan Basri 1988: 49):

motif migrasi orang Banjar ke Jawa lebih banyak disebabkan oleh faktor ekonomi. Selagi motif utama migrasi adalah ekonomi, maka mudah diduga bahawa para migran menuju ke daerah-daerah yang mempunyai ekonomi baik, setidak-tidaknya menurut persepsi para migran.”

Bagaimanapun, motif ekonomi itu mungkin merupakan faktor yang penting bagi migrasi yang bermula pada awal abad ke-20. Bagi migrasi pada permulaan dan akhir abad ke-19, motif ekonomi kelihatannya perlu ditinjau kembali, kerana daerah asal migran, seperti Banjarmasin, Amuntai, Kandangan, Barabai dan Tanjung ternyata memiliki potensi ekonomi yang cukup baik. Kesemua daerah itu adalah daerah penghasil beras utama di Kalimantan Selatan.

Oleh itu,bagi migrasi orang Banjar pada permulaan dan akhir abad ke-19, Hasan Basri (1988:52-53) berpendapat:

faktor geografi dan ekonomi dapat dipandang sebagai faktor yang potensial tetapi tidak mendorong, sedangkan faktor keresahan politik menjadi kekuatan migrasi yang efektif mendorong.

Hasan Basri membayangkan “keresahan politik” itu timbul akibat perebutan takhta di kalangan keluarga raja, penaklukan kerajaan Banjar oleh penjajah Belanda dan pengenaan pelbagai cukai yang membebankan rakyat sejak penjajah Belanda campur tangan dalam pemerintahan Banjar. Keresahan politik itu mendorong orang Banjar meninggalkan negeri mereka pada akhir abad ke-19.

Sementara itu, Tunku Shamsul Bahrin (1964: 47-49) menekankan peluang ekonomi yang terdapat di Tanah Melayu, khasnya peluang memiliki tanah yang telah disediakan dengan sistem pengairan, sebagai satu faktor yang “menarik” orang-orang Indonesia, khasnya orang Banjar untuk datang ke Tanah Melayu. Pada masa yang sama, pelbagai cukai yang membebankan, yang dikenakan oleh pemerintah Belanda, seperti cukai kerja (labour tax), cukai tanah, cukai poll, dan cukai peribadi, telah “menolak” orang-orang Indonesia supaya meninggalkan tanah air mereka dan berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.

Dalam kes orang Banjar, apa yang menarik ialah mereka terus menetap di Tanah Melayu setelah berusaha membuka tanah dan membuat kampung halaman di negara ini. Dengan itu, kawasan yang menjadi tumpuan migrasi orang Banjar pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua dahulu, seperti daerah Krian dan Perak Tengah (Perak), Kuala Selangor dan Sabak Bernam (Selangor) dan Batu Pahat (Johor) terus kekal sebagai penempatan utama