Masyarakat
Malaysia terkenal kerana
sifat majmuknya. Salah satu golongan etnik yang besar ialah orang
Banjar. Seperti golongan etnik lain, orang Banjar juga merupakan satu
golongan yang kompleks dan mempunyai sejarah yang tersendiri di negara
ini. Orang Banjar adalah tergolong dalam rumpun bangsa Melayu, walaupun
begitu, tidak banyak yang diketahui tentang masyarakat ini. Keadaan ini
agak berbeza dengan orang Jawa yang lebih dikenali walaupun kedua-dua
masyarakat ini mempunyai latar belakang penghijrahan yang hampir sama
dan berasal dari negara yang sama iaitu Indonesia. Satu hal yang agak
menarik juga, kedua-dua masyarakat tersebut tinggal di kawasan
petempatan yang berdekatan di Malaysia, contohnya di daerah Batu Pahat,
Johor, daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor dan daerah
Bagan Datoh di Perak. Sehingga kini, belum ada penulisan yang
benar-benar lengkap tentang sejarah kedatangan atau perkembangan
masyarakat tersebut di negara ini, walaupun sumbangan mereka dalam
bidang sosial, ekonomi dan politik bangsa Melayu khasnya di negara ini
secara keseluruhannya tidak kurang pentingnya.
Asal-usul kedatangan orang Banjar ke
Tanah Melayu
Orang Banjar yang datang ke Tanah Melayu adalah berasal dari
Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito, terutama sekali
dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu. Kawasan ini
adalah terletak di bahagian tenggara Borneo. Di antara daerah-daerah
utama tempat asal orang Banjar tersebut ialah dari daerah Balangan,
Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari dan Martapura. Sebahagian dari
mereka juga berasal dari Sumatera Tengah di kawasan Bukit Tinggi dan
Sepat. Daerah-daerah tersebut merupakan kawasan penanaman padi. Oleh
demikian, mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah merupakan
petani-petani yang mahir dalam penanaman padi. Di samping itu,
pekerjaan khusus seperti melukis, tukang permata dan berniaga juga
ditekankan oleh mereka. Pekerjaan inilah yang membezakan mereka dari
suku-suku bangsa lain di daerah orang-orang Dayak yang tinggal lebih ke
utara barat Banjar Masin. Masyarakat ini juga dikenali dengan kemahiran
membuat peralatan dari besi, seperti peralatan pertanian dan senjata.
Kebanyakan mereka suka tinggal di lembah beberapa buah sungai seperti
di sepanjang lembah Sungai Barito dari Banjar Masin hingga ke Asuntai
dan Tanjung di utara.
Tarikh migrasi masyarakat ini ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan,
tetapi menurut Afred Bacon Hudson seorang pengkaji orang Banjar,
migrasi ini bermula dalam pertengahan abad ke 19. Penempatan yang awal
sekali dapat dikesan ialah di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu, mereka
sering berulang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak,
Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan Singapura. Selain daripada
itu Bagan Datoh di Perak juga dikatakan tempat pertapakanawal
masyarakat ini di Tanah Melayu.
Dari Batu Pahat, mereka berpecah ke kawasan lain. Mereka masih lagi
manjalankan aktiviti yang serupa seperti bertani, berkebun getah,
kelapa dan sebagainya. Pada masa kini, masyarakat Banjar boleh didapati
di beberapa kawasan pantai barat, terutamanya di kawasan penanaman padi
seperti di daerah Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh di Perak, Sabak
Bernam dan Tanjong Karang di Selangor serta Batu Pahat di Johor. Di
Sabah pula, orang Banjar terdapat di Sandakan, Tenom, Keningau dan
Tawau. Orang Banjar ini pula terbahagi kepada beberapa puak dan di
antara yang terbesar ialah Tanjung dan Kalua dari daerah Balangan,
Amuntai dari daerah Amuntai, Barabai dari daerah Alai, Nagara dan
Kandangan dari daerah Hamandit, Rantau dari daerah Margasari dan
Martapura dari daerah Martapura. Masyarakat ini sering
mengidentifikasikan diri mereka berdasarkan daerah tempat
asal-usulmereka di Tanah Banjar.
Selain daripada faktor perdagangan, kemiskinan yang mencengkam
kehidupan orang Banjar di tempat asal mereka juga telah mendorong
penghijrahan ke Tanah Melayu. Keadaan mereka di Tanah Banjar agak sukar
kerana tanah pertanian mereka sering menghadapi ancaman binatang buas.
Faktor ini ditambah lagi dengan kemelaratan yang dihadapi di bawah
pemerintahan penjajah Belanda yang terlalu menindas masyarakat tempatan
dengan pelbagai cukai dan peraturan yang tidak munasabah. Di samping
itu, mereka tertarik dengan kemakmuran kehidupan di Tanah Melayu pada
masa itu yang dikhabarkan oleh pedagang-pedagang yang berulang-alik ke
Tanah Melayu.
Pihak penjajah British di Tanah Melayu pula amat menggalakkan
penghijrahan masyarakat dari Indonesia untuk membuka dan mengerjakan
kawasan pertanian yang baru kerana masyarakat tersebut amat terkenal
dengan sifat tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran hidup.
Ciri-ciri awal orang Banjar di Tanah
Melayu
Apa yang dimaksudkan dengan ciri-ciri awal ini ialah sosio-budaya orang
Banjar pada tahap awal pertapakan mereka di tanah Melayu iaitu sekitar
pertengahan abad ke-19 sehingga pertengahan abad yang ke-20. Terdapat
ciri-ciri yang dominan dan ketara pada masyarakat ini yang
membezakannya dengan masyarakat Melayu tempatan pada masa itu. Di
antara ciri-ciri awal yang dapat diperhatikan dalam masyarakat ini pada
masa itu ialah, fahaman kesukuan, teguh pegangan agama dan carahidup
sederhana, berani dan panas baran.
Fahaman kesukuan
Perkara ini adalah berkait rapat dengan keadaan mereka yang baru
berhijrah dari Tanah Banjar ke Tanah Melayu yang masih asing bagi
mereka. Jadi, bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, mereka sentiasa
tinggal dalam satu kelompok. Salah satu ciri terpenting wujud pada
masyarakat tersebut pada masa itu ialah mendalamnya fahaman kesukuan.
Bagi mereka, orang-orang selain dari suku mereka dianggap sebagai
'orang luar'. Keadaan ini telah mempengaruhi pergaulan, perkembangan
pemikiran dan seterusnya keperibadian mereka. Faham kesukuan ini juga
telah menjadikan masyarakat ini pada masa itu sebagai sebuah masyarakat
tertutup. Jarang-jarang benar berlaku perkahwinan di luar suku Banjar.
Justeru itu, faktor ini telah dapat mengekalkan beberapa ciri-ciri
keperibadian yang tersendiri masyarakat ini. Contoh yang nyata ialah
pengekalan bahasa pertuturan sehari-hari iaitu dialek Banjar dan
kawasan tempat tinggal yang berkelompok.
Teguh pegangan agama dan cara hidup
sederhana
Kebanyakan orang Banjar yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah terdiri
daripada mereka yang kuat pegangan agama Islam dan mengamalkan cara
hidup yang sederhana. Maka, tidak hairanlah bahawa masyarakat ini amat
condong terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam
dalam kehidupan seharian mereka.
Keadaan ini ditambah lagi dengan corak pekerjaan mereka yang berbentuk
pertanian dan lokasi petempataan mereka yang agak terpencil daripada
bandar, telah menyebabkan peluang untuk mereka mengikuti
kemudahan-kemudahan seperti pelajaran, kesihatan, dan lain-lain amat
terhad. Perkembangan pendidikan secara formal yang wujud dalam
masyarakat ini hanyalah berupa kelas membaca al-Quran, mempelajari
hal-ehwal syariat Islam sama ada di sekolah-sekolah agama rakyat
mahupun di madrasah-madrasah. Bagi golongan yang berkemampuan pula,
mereka menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah arab mahupun
pondok-pondok di tempat lain. Bagi yang lebih berkemampuan, mereka juga
turut menghantar anak-anak mereka ke Tanah Suci Mekah untuk mendalami
ilmu agama. Amat kurang sekali yang menghantar anak-anak mereka ke
sekolah-sekolah kerajaan mahupun ke sekolah Melayu kerana mereka
berpendapat mata pelajaran yang di ajar tidak sesuai dan semata-mata
hal-ehwal duniawi sahaja. Begitu juga dengan sekolah-sekolah Inggeris
mereka khuatir anak-anak mereka akan terpengaruh dengan dakyah Kristian
jika menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah tersebut. Walaupun
pada umumnya, fahaman sebegini wujud dikalangan masyarakat Melayu yang
lain, tetapi keadaan yang wujud dikalangan orang Banjar amat ketara
sekali.
Sebagai buktinya, sehingga awal tahun-tahun 60an, amat kurang sekali
pegawai-pegawai kerajaan mahupun kakitangan yang berketurunan Banjar.
Kalau pun ada, hanya pegawai-pegawai agama atau guru-guru agama.
Ringkasnya mereka lebih berminat untuk bergiat dalam bidang-bidang yang
bersangkutan dengan hal-ehwal agama Islam sahaja. Kesan lain yang dapat
diperhatikan dan masih kekal sehingga kini ialah terdapatnya dengan
banyak sekali sekolah-sekolah agama rakyat, madrasah mahupun
pondok-pondok dikawasan-kawasan yang majoriti penduduknya orang Banjar
seperti di daerah Kerian, Perak mahupun di daerah Sabak Bernam,
Selangor.
Keadaan kehidupan mereka juga amat sederhana, rumah mereka dikatakan
kosong kerana tidak mempunyai alat-alat perabut seperti kerusi, meja
dan almari. Peralatan yang ada seperti tikar mengkuang yang
dibentangkan ketika tetamu datang dan lain-lain perkakas yang mustahak
sahaja.
Satu hal yang agak menarik juga ialah, masyarakat ini tidak suka
bekerja makan gaji dengan kerajaan kerana mereka lebih suka bekerja
sendiri khasnya dalam bidang pertanian. Perkara ini juga berkait dengan
kebebasan untuk mereka membuat perkara-perkara sampingan khasnya untuk
mendalami ilmu-ilmu keagamaan. Pekerjaan bertani khasnya penanaman padi
mempunyai ruang masa yang banyak dan bebas untuk mereka melakukan
perkara-perkara tersebut seperti ketika menunggu musim menuai dan
seumpamanya. Kedudukan seseorang yang tinggi ilmu agama juga amat
dihormati dan mendapat tempat yang istimewa di kalangan orang Banjar.
Nilai yang diberikan ke atas seseorang individu dalam masyarakat ini
adalah berdasarkan keahliannya dalam ilmu-ilmu agama Islam. Nilai-nilai
seperti ini menjadikan masyarakat ini begitu kuat dan taat berpegang
kepada ajaran Islam dan kepada kepimpinan yang ahli dalam bidang agama
Islam. Perkara ini jelas dilihat daripada kemenangan calon parti yang
menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan pada Pemilihan Umum
Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 Kawasan Kerian, Perak yang
telah diketahui majoriti daripada penduduknya terdiri daripada orang
Banjar. Beliau yang dimaksudkan ialah Tuan Guru Haji Ahmad Haji
Hussein, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari, seorang tokoh
ulama besar berasal dari Tanah Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia.
Berani dan pemanas
Salah satu sifat yang agak ketara terdapat dalam masyarakat Banjar
ialah bersifat berani dan pemanas. Masyarakat ini pantang dicabar dan
bersifat panas baran. Penggunaan senjata seperti pisau (biasanya
disebut lading), parang panjang atau badik (sejenis pisau juga), tidak
asing lagi bagi mereka terutama ketika berlaku pergaduhan. Dipercayai
juga setiap keluarga orang Banjar pasti menyimpan sebilah parang
panjang di rumah masing-masing untuk menjaga keselamatan mereka. Orang
Banjar sering dianggap sebagai masyarakat yang gemar bergaduh oleh
masyarakat lain. Sebenarnya, sifat ini telah timbul secara turun
temurun semenjak mereka menetap di Tanah Banjar lagi. Keadaan alam
sekeliling di Tanah Banjar yang penuh dengan hutan belukar dan binatang
buas menjadikan mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran dan halangan
dalam meneruskan kehidupan mereka. Orang-orang yang berniaga pula
sering berhadapan dengan lanun dan perompak memerlukan mereka sentiasa
bertenaga dan bersedia untuk bertarung dengan pihak musuh. Perkara ini
juga telah menyebabkan mereka suka menuntut ilmu-ilmu persilatan
daripada pendekar-pendekar tempatan mahupun luar. Keadaan ini
terbawa-bawa dan akhirnya telah menjadi sifat dan perangai mereka
sehingga sekarang walaupun semakin berkurangan. Ciri-ciri ini jugalah
yang sebenarnya menjadi penyebab kepada pergaduhan yang telah timbul di
kawasan petempatan orang Banjar seperti di Sungai Manik, Teluk Intan,
Perak pada tahun 1940an dan 1960an mahupun di Batu Pahat, Johor pada 13
Mei 1969, atas gabungan sifat mereka yang kuat pegangan agama dan
berani serta pemanas.
Orang Banjar kini
Kini, orang Banjar di Malaysia sebagaimana masyarakat-masyarakat
penghijrah dari Indonesia yang lain seperti orang Jawa, Bugis,
Mendailing, Rawa, Kerinchi, Batak, Minangkabau dan lain-lain lagi,
telah mengalami arus perubahan yang pesat seiring dengan kepesatan
pembangunan di negara ini sendiri. Proses asimilasi yang berlaku ke
atas masyarakat ini amat ketara terutama apabila mereka sudah tidak
tinggal lagi bersama-sama dalam kelompok mereka mahupun apabila
berlakunya perkahwinan campur. Program pendidikan di negara ini juga
sedikit sebanyak telah mengasimilasikan masyarakat ini ke dalam
masyarakat Melayu tempatan. Generasi muda masyarakat ini sudah agak
kurang mahupun tidak tahu atau malu untuk bertutur dalam bahasa Banjar
walaupun ketika berbicara sesama mereka.
Sifat mereka yang suka merantau masih membara dijiwa mereka. Buktinya,
apabila adanya pembukaan tanah-tanah rancangan sama ada oleh FELDA
mahupun FELCRA, mereka akan memberikan sambutan yang menggalakkan untuk
menjadi peserta. Kini, orang Banjar juga banyak didapati di
kawasan-kawasan tanah rancangan contohnya di negeri Pahang.
Di petempatan yang majoritinya adalah terdiri daripada masyarakat
Banjar, perpaduan mereka masih erat dan mereka masih terus memelihara
dan menggunakan bahasa Banjar dalam pertuturan harian. Namun, dari segi
pengamalaan adat resam dan organisasi sosial orang Banjar serta
prasangkanya terhadap orang bukan Banjar sudah agak berkurangan dan
mungkin sudah tiada lagi. Sikap mereka terhadap pendidikan juga telah
jauh berubah di mana anak-anak mereka juga telah berjaya melanjutkan
pelajaran sehingga ke menara gading dan menjawat jawatan-jawatan yang
tinggi di sektor awam mahupun swasta. Namun begitu, pendidikan agama
masih tetap menjadi pilihan utama kebanyakan dari mereka dan buktinya
dapat di perhatikan daripada ramainya anak-anak masyarakat ini yang
mempunyai kelulusan agama yang tinggi terutama orang Banjar dari daerah
Kerian, Perak dan daerah Sabak Bernam di Selangor.
Disusun semula oleh:
Muhammad Sabil al-Banjari,
Jabatan Antropologi dan Sosiologi, UM.